26/04/2022
Spesies
Sacha inchi merupakan sejenis tanaman kekacang atau nama saintifiknya ialah Plukenetia volubilis. Ia turut dikenali sebagai ‘sacha peanut’, ‘inca peanut’ dan ‘mountain peanut’. Tumbuhan ini tergolong dalam famili Euphorbiaceae dan genus Plukenetia.
Ciri-ciri
Pokok sacha inchi mempunyai ketinggian kira-kira 2-3 meter. Ia tumbuh secara menjalar atau memanjat dengan sokongan kayu atau para setinggi 3-4 meter. Buah sacha inchi berwarna hijau cerah semasa muda dan berwarna perang gelap apabila matang. Ia berbentuk seperti biji getah serta mempunyai kapsul yang berukuran 3-5 cm.
Buah sacha inchi akan dituai apabila matang dan buahnya akan terbuka sendiri. Bijinya berbentuk oval dan berwarna perang kehitaman yang berukuran 1.5-2.0 cm. Ia mempunyai berat sekitar 45-100 gram setiap biji. Tumbuhan ini mempunyai bunga berwarna putih kehijauan dan bersaiz kecil di bahagian hujung dahan. Bunga jantan yang berwarna putih bersaiz kecil dalam jambak sementara bunga betina berada dibahagian bawah jambak.
Cara penanaman
Pokok sacha inchi ini memerlukan medium tanah berasid dengan pH diantara 5.1-5.5 bagi memastikan pertumbuhan yang sihat. Selain itu, ia memerlukan air yang mencukupi dan sistem saliran yang baik. Pokok ini mudah dijaga dan ditanam, namun harga pasarannya agak tinggi menyebabkan ramai mula berkecimpung untuk mengkomersialkan tumbuhan ini. Penanaman pokok ini menggunakan biji benih yang diambil dari pokok yang telah matang.
Biji benih perlu direndam dalam air yang bersih dan seterusnya disemai di atas tapak semaian pada suhu 25-30 celcius. Percambahan kebiasaannya mengambil masa selama 14 hari dan setelah itu ia boleh dialih ke kebun. Di samping itu, terdapat kaedah lain dengan menanam biji benih terus ke ladang tanpa direndam dalam air, namun ia akan menyebabkan percambahan menjadi tidak sekata. Antara kelebihan pokok sacha inchi ialah ia mudah dijaga kerana kurang serangan serangga perosak dan cepat berbuah.
Khasiat
Pokok sacha inchi mempunyai khasiat dan nutrisi yang tinggi. Sacha inchi kaya dengan Omega 3 iaitu lebih tinggi berbanding kandungan Omega di dalam ikan. Antara kandungan yang terdapat dalam Sacha Inchi adalah Omega 3 (48%), Omega 6 (35%) dan Omega 9 (9%). Buah sacha inchi ini juga boleh dimakan tanpa direbus. Ia mengandungi minyak yang berkhasiat iaitu Omega 3 Fatty Acids, Alpha Linoleic Acids (ALA) dan Essential Amino Acids. Justeru, ia dapat membantu merawat dan mencegah masalah-masalah utama yang dihadapi oleh setiap tubuh badan.