10/11/2026
TIADA ADUAN TERABAI, SETIAP PENDUDUK DIMAKLUMKAN: CALON-CALON BERSAMA BAGI KUALA LINGGI DAN KESIDANG MELANCARKAN PLATFORM PENJEJAK ADUAN AWAM
Dua calon BERSAMA, Dr Bryan Kek (Calon N19 Kesidang) dan Dr Nur Farhana Hamzah (Calon N01 Kuala Linggi), telah melancarkan platform penjejakan isu awam masing-masing, iaitu Penjejak Aduan Kuala Linggi dan Suara Kesidang. Melalui platform ini, penduduk boleh mengemukakan masalah setempat dan menerima maklumat terkini secara berterusan sehingga masalah tersebut diselesaikan.
Sudah terlalu lama aduan penduduk tentang banjir kilat, jalan rosak, longkang tersumbat dan lampu jalan rosak hilang begitu sahaja di media sosial dan dalam surat-surat yang tidak berjawab. Kami percaya setiap isu wajar direkodkan, disusuli dan dilaporkan secara terbuka, supaya penduduk dapat melihat isu mana yang bergerak dan mana yang tidak.
Penduduk boleh mengemukakan isu seperti banjir kilat, longkang tersumbat, jalan berlubang, lampu jalan rosak dan sebagainya. Setiap aduan akan diberikan nombor tiket yang boleh digunakan oleh sesiapa sahaja untuk menyemak perkembangan terkininya. Penduduk juga dapat melihat isu-isu yang dibangkitkan oleh komuniti mereka serta sejauh mana kemajuan setiap kes.
Kami komited untuk:
1. Bertindak sebagai perantara dengan menyalurkan setiap kes kepada agensi yang berkaitan dan merekodkan nombor rujukan agensi tersebut dalam tiket penduduk.
2. Menerbitkan sasaran tindak balas berserta tempoh sasaran untuk tindakan susulan.
3. Memaklumkan perkembangan kepada penduduk melalui rekod kemajuan yang boleh dilihat sehingga kes ditutup.
4. Menerbitkan laporan bulanan berserta kadar penyelesaian bagi kawasan-kawasan tersebut, dan menyasarkan sesi townhall setiap bulan.
Nama, nombor telefon dan alamat penduduk tidak akan sesekali dipaparkan secara umum dan hanya boleh dilihat oleh pasukan yang mengendalikan kes tersebut. Hantaran yang menamakan atau menuduh individu, atau yang menyentuh isu kaum, agama atau institusi diraja (3R), tidak akan disiarkan. Data peribadi anda hanya digunakan untuk tujuan susulan kes anda.
Kami menjemput setiap penduduk Kuala Linggi dan Kesidang untuk melayari platform ini dan memaklumkan kepada kami perkara yang penting bagi mereka.
Pautan ke platform:
N01 Kuala Linggi: https://bit.ly/4zTz0qV
N19 Kesidang: https://suara.kesidang.org/
10 November 2026
DR NUR FARHANA HAMZAH, Calon BERSAMA N01 Kuala Linggi
Dr BRYAN KEK KIT HUN, Calon BERSAMA N19 Kesidang