28/08/2026
PERHIMPUNAN PAGI
"Ini Merdeka Kita"
Dalam amanat pagi tadi, Pengarah Hospital menekankan pentingnya warga hospital menjiwai pekerjaan dengan membayangkan diri sendiri sebagai seorang pesakit yang sedang menerima rawatan. Ianya bertujuan untuk menanamkan rasa empati dan tanggungjawab yang lebih mendalam dalam kalangan warga hospital.
Bila kita meletakkan diri di tempat pesakit, beberapa perkara berlaku:
1 .Empati meningkat – kita lebih memahami kesakitan, keresahan, dan harapan pesakit.
2. Kualiti perkhidmatan bertambah baik – setiap tindakan dilakukan dengan lebih teliti kerana kita bayangkan ia memberi kesan langsung
kepada diri sendiri.
3. Ikhlas dalam tugas – kerja bukan sekadar rutin, tetapi amanah yang menyentuh kehidupan orang lain.
4. Budaya kerja positif – staf lebih bersemangat, saling menyokong, dan mengekalkan disiplin kerana mereka tahu setiap pesakit layak
mendapat layanan terbaik.
5. Hospital lebih dipercayai – apabila pesakit dilayan dengan baik, reputasi hospital meningkat dan masyarakat lebih yakin dengan perkhidmatan.
Dalam ucapannya, beliau juga menekankan bahawa bulan Ogos ini bukan sekadar bulan merdeka, tetapi juga bulan untuk kita merdeka daripada sikap sambil lewa dan terus berdisiplin demi kecemerlangan.
Pengarah turut memaklumkan bahawa beberapa projek pembangunan sedang berjalan di Hospital Semporna, demi meningkatkan keselesaan pesakit dan warga hospital.
Bagi menyemarakkan bulan kemerdekaan, sajak bertajuk "Ini Merdeka Kita" telah disampaikan oleh PPP Nuruddin.
Perhimpunan Pagi Hospital Semporna bertambah bermakna apabila Pengarah Hospital merasmikan Kempen Hari Menderma Organ Peringkat Hospital Semporna.
PPP Asmeer, selaku Penyelaras Kempen, turut menyampaikan ceramah kesedaran tentang pentingnya menderma organ kerana ia satu amalan mulia yang mampu menyelamatkan nyawa dan memberi harapan baharu kepada pesakit yang memerlukan.
Kempen ini bukan sahaja bertepatan dengan semangat kemerdekaan, tetapi juga menyeru warga hospital dan masyarakat agar terus menjiwai nilai pengorbanan, empati, dan kasih sayang demi kesejahteraan bersama.
Perhimpunan Pagi kali ini dianjurkan bersama oleh Wad Perempuan, Wad Kanak-Kanak, Klinik Pakar, Unit Angkut dan Unit Kecemasan.
Program dimulai dengan bacaan doa oleh Ustaz Aziz, diikuti nyanyian lagu patriotik dan lafaz ikrar.
Pengisian Program:
1. Anugerah Pekerja Contoh bulan Julai & Ogos
2. Sesi Perkenalan Kakitangan Baru melapor diri
3. Penghargaan kepada staf yang terlibat dengan Kempen Derma Organ
Hospital Semporna terus melangkah maju dengan pencapaian membanggakan.
“Hospital Semporna Maju Hadapan”
“Hospital Semporna Move Forward”