07/07/2026
LARIAN MESRA MINDA TAIPING 2026 – LARIAN BERSAMA MENENANGKAN MINDA
Satu pagi yang penuh ceria, semangat dan kesedaran!
Pertubuhan Pendidikan Psikiatri Taiping bersama Ahli Lembaga Pelawat Hospital Taiping telah berjaya menganjurkan Larian Mesra Minda Taiping pada 05 Julai 2026 (Ahad) lalu bertempat di Dataran Kedamaian, Taman Tasik Taiping.
Pertubuhan ini ialah sebuah pertubuhan ‘Non-Governmental Organisation’ (NGO) yang bertapak di Jabatan Psikiatri & Kesihatan Mental, Hospital Taiping. Ahli-ahlinya terdiri daripada doktor, penolong pegawai perubatan, jururawat dan staf-staf kesihatan. Pertubuhan ini bermatlamat untuk menggalakkan pembelajaran dan meningkatkan kemahiran ahli-ahlinya dalam bidang Psikiatri supaya dapat memberi rawatan dan pendidikan yang terbaik kepada masyarakat.
Acara yang dijalankan selaras dengan matlamat Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) yang digariskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Gaya hidup yang cergas dan aktif bukan sahaja mencegah penyakit fizikal namun penyakit mental seperti kemurungan dan anzieti juga boleh dicegah. Program ini telah mendapat sambutan baik daripada peserta yang terdiri daripada pelajar sekolah, orang awam, warga kesihatan serta komuniti daripada pelbagai lapisan masyarakat.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Yang dihormati, Encik Ong Hui Xue王会学 mewakili YB Wong Kah Woh, Timbalan Menteri Pendidikan merangkap Ahli Parlimen Taiping. Encik Ong Hui Xue juga memegang jawatan sebagai Pengerusi Ahli Lembaga Pelawat Hospital Taiping. Turut hadiri ialah Dr. Monesh Pillai, Pengerusi Malaysian Medical Association (Mma Perak Branch), Dr. Khuzaini bin Abd Karim, Pengarah Hospital Taiping, Dr. Isma Farred bin Ishak, Timbalan Pengarah (Perubatan) 1 Hospital Taiping dan Dr. Choo Shell Pinn, Ketua Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental, Hospital Taiping.
Dengan suasana penuh keceriaan dan kesegaran pagi, para peserta dapat menikmati keindahan Taman Tasik Taiping dan kawasan persekitarannya. Pelbagai aktiviti menarik seperti senamrobik, kuiz kesihatan minda, cabutan bertuah dan penyampaian hadiah telah diadakan, disokong oleh para penaja, rakan strategik, sukarelawan serta jawatankuasa pelaksana yang komited menjayakan inisiatif ini. Pelbagai booth pameran oleh Unit Rehabilitasi Psikiatri, Malaysian Mental Health Association (MMHA) Perak, Jabatan Farmasi Hospital Taiping dan AEON Taiping turut dibuka kepada peserta dan orang awam.
Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam menjadikan Larian Mesra Minda Taiping 2026 satu kenangan yang bermakna.
Semoga langkah kecil ini ini menjadi sinar besar dalam meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kesihatan minda. Sekian, terima kasih.
Dr. Benedict Chong Tak Wai
Pengerusi Acara & Pengerusi Pertubuhan Pendidikan Psikiatri Taiping.