Klinik Darulaman

Klinik Darulaman Perubatan Luka Kaki Kencing Manis
Perubatan Trigger Finger tanpa operasi
Pencucian Semua Jenis Luka

With Public Health Malaysia – I'm on a streak! I've been a top fan for 7 months in a row. 🎉
04/09/2026

With Public Health Malaysia – I'm on a streak! I've been a top fan for 7 months in a row. 🎉

24/08/2026

Dah 2026, masih lagi ada yang percaya strok boleh dirawat dengan cucuk, potong atau kerat hujung jari sampai berdarah.

Kononnya nak “keluarkan darah”.

Masalahnya, strok berlaku di OTAK.
Bukan sebab ada “darah kotor” yang perlu dibuang melalui jari.

Kalau strok iskemia, salur darah ke otak TERSUMBAT.
Kalau strok pendarahan, salur darah dalam otak PECAH.

Jadi bila anda potong jari sampai berdarah, apa yang berlaku?

Jari luka.

Itu sahaja.

Darah yang keluar dari jari tak akan tarik keluar darah beku dalam otak.
Tak akan buka salur darah yang tersumbat.
Tak akan hentikan pendarahan dalam otak.


Bayangkan paip di tingkat atas rumah tersumbat.

Anda buka paip dapur sampai air mencurah-curah pun sumbatan di tingkat atas masih ada.

Sama konsepnya.

“Tapi saya pernah tengok orang buat, lepas tu pesakit okay.”

Itu bukan bukti rawatan tersebut berkesan.

Minor stroke boleh menunjukkan pemulihan cepat. TIA p**a boleh menyebabkan simptom hilang sendiri.

Yang lebih membimbangkan, masa berharga boleh terbuang kerana sibuk mencucuk jari, mengurut atau mencuba petua sedangkan pesakit sepatutnya sudah berada dalam perjalanan ke hospital.

Dalam strok, TIME IS BRAIN.

Muka senget.
Tangan atau kaki tiba-tiba lemah.
Cakap pelo atau susah bercakap.
Penglihatan berubah atau hilang keseimbangan secara tiba-tiba.

Jangan cari jarum.
Jangan cari gunting kuku.

Cari Jabatan Kecemasan.

Strok ialah masalah di OTAK.
Potong jari cuma menambah masalah di JARI.

16/08/2026

DARAH TINGGI TAK SAKIT.
SEBAB ITULAH IA BERBAHAYA.

Pagi itu dia bangun seperti biasa.

Mandi. Sarapan. Memandu ke tempat kerja.

Tak pening.
Tak sakit kepala.
Tak rasa dada berdebar.

Kalau ditanya, dia akan jawab,

“Aku sihat je.”

Cuma satu yang dia tak tahu.

Tekanan darahnya sudah tinggi.


Beginilah hipertensi bekerja.

Ia tidak semestinya datang dengan sakit kepala atau rasa tidak sedap badan. Kebanyakan orang dengan tekanan darah tinggi langsung tidak mempunyai gejala. Satu-satunya cara untuk mengetahuinya ialah dengan mengukur tekanan darah.

Sementara kita rasa semuanya baik-baik sahaja, tekanan yang tinggi itu terus memberi beban kepada salur darah dan organ.

Tahun demi tahun.

Jantung bekerja lebih kuat.

Salur darah semakin terjejas.

Buah pinggang menerima kesannya.

Otak juga tidak terkecuali.

Sebab itu hipertensi meningkatkan risiko serangan jantung, strok, penyakit buah pinggang dan kematian pramatang.


Dan masalah ini bukan kecil.

NHMS 2023 mendapati 29.2% orang dewasa Malaysia mempunyai hipertensi.

Hampir 1 dalam setiap 3 orang dewasa.

Lebih membimbangkan, sebahagian daripada mereka langsung tidak tahu tekanan darah mereka tinggi. Malah, kump**an terbesar yang tidak menyedari mereka mempunyai hipertensi berada dalam lingkungan umur 18 hingga 39 tahun.

Jadi jangan fikir,

“Aku masih muda.”

“Aku tak pening pun.”

“Aku tak rasa apa-apa.”

Itulah masalahnya.

Dar​​ah tinggi memang boleh tidak rasa apa-apa.

Kadang-kadang, apabila badan akhirnya memberi “amaran”, yang muncul bukan lagi sekadar nombor tinggi pada mesin tekanan darah.

Tetapi komplikasinya.

Strok.

Serangan jantung.

Kerosakan buah pinggang.


Jangan tunggu badan menjerit.

Periksa tekanan darah. Kenal nombor anda.

Kerana penyakit yang paling mudah kita abaikan adalah penyakit yang tidak sakit.

DARAH TINGGI TAK SAKIT.
SEBAB ITULAH IA BERBAHAYA.

10/08/2026

LEMAK YANG TIDAK NAMPAK MUNGKIN LEBIH BERBAHAYA

Tubuh kita menyimpan kedua-dua jenis lemak ini.

Lemak subkutaneus berada di bawah kulit. Inilah lemak yang boleh dicubit pada perut, lengan atau paha. Ia menyimpan tenaga dan melindungi tubuh, tetapi jika terlalu banyak, tetap boleh menjejaskan kesihatan.

Lemak viseral p**a tersembunyi jauh di dalam abdomen dan mengelilingi organ seperti hati, pankreas serta usus.

Ia lebih aktif secara metabolik dan dikaitkan dengan risiko lebih tinggi untuk:

• Rintangan insulin dan diabetes jenis 2
• Tekanan darah tinggi
• Kolesterol tidak sihat
• Hati berlemak
• Penyakit jantung dan strok

Sebab itu seseorang boleh kelihatan tidak terlalu gemuk tetapi masih mempunyai pengump**an lemak abdomen yang berisiko.

BMI sahaja tidak menceritakan keseluruhan keadaan. Ukur juga lilitan pinggang.

Bagi orang dewasa Asia, risiko penyakit mula meningkat apabila lilitan pinggang mencapai:

Lelaki: 90 cm atau lebih
Wanita: 80 cm atau lebih

Ukuran pinggang hanyalah alat saringan, bukan diagnosis tepat jumlah lemak viseral. Imbasan CT atau MRI lebih tepat, tetapi biasanya tidak diperlukan untuk saringan rutin.

Tiada senaman khas yang boleh membakar lemak perut sahaja. Fokus kepada pengurangan lemak badan secara keseluruhan melalui pemakanan seimbang, aktiviti aerobik, latihan kekuatan dan tidur yang mencukupi.

Yang paling berbahaya bukan semestinya lemak yang kita boleh nampak. Kadangkala, ia sedang berkumpul senyap-senyap di sekeliling organ.

10/08/2026

KANAK-KANAK UMUR 3 TAHUN PUN BOLEH KENA KAYAP

Ramai menyangka kayap hanya menyerang orang dewasa atau warga emas. Sebenarnya, kanak-kanak juga boleh mengalaminya. Ia memang tidak biasa, tetapi bukan mustahil.

Kayap atau herpes zoster berlaku apabila virus varicella-zoster, iaitu virus yang sama menyebabkan cacar air, aktif semula di dalam badan.

Ruamnya biasanya muncul sebagai lepuhan kecil berair yang berkumpul pada satu bahagian badan mengikut laluan saraf. Pada kanak-kanak, ruam mungkin lebih gatal berbanding sakit.

Berita yang sedikit melegakan, satu episod kayap yang ringan dan tidak merebak pada kanak-kanak tidak semestinya bermaksud sistem imunnya lemah. Kebanyakan kanak-kanak boleh sembuh sepenuhnya tanpa kesan jangka panjang.

Namun, anak tetap perlu diperiksa doktor dengan segera. Ubat antiviral, jika diperlukan, paling berkesan apabila dimulakan pada peringkat awal.

Apa yang ibu bapa boleh lakukan?

Pastikan ruam sentiasa bersih, kering dan ditutup dengan pakaian atau balutan yang tidak melekat. Elakkan anak menggaru atau memecahkan lepuhan. Jangan sapukan minyak panas, herba atau ubat yang tidak disarankan doktor.

Kayap tidak “berjangkit menjadi kayap” kepada orang lain. Namun, virus daripada lepuhan boleh menyebabkan cacar air kepada individu yang belum pernah mendapat cacar air atau vaksin.

Sehingga semua lepuhan kering dan berkeruping, elakkan sentuhan rapat dengan bayi baru lahir, wanita hamil yang belum kebal serta individu yang mempunyai sistem imun lemah.

Dapatkan rawatan segera jika ruam terkena muka, hidung atau kawasan mata, merebak ke seluruh badan, disertai demam berpanjangan, anak menjadi sangat lemah atau kayap berlaku berulang kali.

Semoga si kecil ini cepat sembuh. Jangan panik, tetapi jangan hanya mencuba petua. Kayap pada kanak-kanak perlu dinilai dan dirawat dengan betul.

Sumber : Atikah_kariadi @ thread

10/08/2026

Kadang-kadang kita ingat untuk jadi sihat, kita perlu mula dengan perkara yang besar.

Hakikatnya, langkah kecil seperti berjalan kaki pun sudah sangat baik untuk kesihatan. Dan jika dilakukan bersama seorang kawan, manfaatnya boleh jadi lebih besar.

Berjalan bersama rakan bukan sekadar membantu kita lebih rajin dan konsisten untuk bergerak. Ia juga memberi ruang untuk berbual, melepaskan tekanan, mengurangkan rasa sunyi, dan menjadikan aktiviti fizikal terasa lebih ringan serta menyeronokkan.

Bila badan bergerak, jantung bekerja dengan lebih baik.
Bila fikiran tenang, tekanan juga berkurang.
Bila ada teman di sisi, semangat untuk terus menjaga kesihatan jadi lebih kuat.

Sebab itu, berjalan dengan kawan bukan hanya baik untuk tubuh, tetapi juga baik untuk emosi dan kesejahteraan mental.

Tak perlu tunggu ada masa lapang yang sempurna.
Tak perlu tunggu ada gym membership.
Tak perlu tunggu berat naik atau badan mula sakit.

Cukup mulakan dengan perkara yang mudah.
Ajak seorang kawan.
Pilih tempat yang selesa.
Berjalan 20 hingga 30 minit.
Lakukan secara konsisten.

Kadang-kadang, perubahan besar dalam kesihatan bermula dengan langkah kecil yang dibuat bersama.

Kalau nak lebih sihat, jangan berjalan seorang.
Ajak kawan sekali.

Public Health Malaysia

10/08/2026

Kuku bukan sekadar bahagian kecil di hujung jari. Kadang-kadang perubahan pada bentuk, warna atau permukaannya boleh memberi petunjuk tentang keadaan kesihatan kita.

Antara perubahan kuku yang biasa dilihat ialah:

Clubbing
Hujung jari menjadi lebih bulat dan kuku melengkung ke bawah. Ia boleh dikaitkan dengan masalah paru-paru, jantung atau beberapa penyakit kronik.

Spoon nail
Kuku menjadi cekung seperti sudu. Kadangkala ia dikaitkan dengan kekurangan zat besi.

Fungal nail
Kuku menjadi tebal, kekuningan, kasar atau rapuh. Ini sering berlaku akibat jangkitan kulat.

Trauma nail
Hentakan pada kuku boleh menyebabkan lebam atau darah terkumpul di bawah kuku sehingga kelihatan merah gelap atau hitam.

Melanonychia
Garisan coklat atau hitam memanjang pada kuku. Banyak kes tidak berbahaya, tetapi garisan yang baru muncul, semakin lebar, berubah bentuk atau hanya melibatkan satu kuku wajar diperiksa.

Normal ridges
Garis halus menegak pada kuku sangat biasa dilihat, terutama apabila usia meningkat, dan kebanyakannya bukan tanda penyakit.

Yang penting, jangan cuba mendiagnosis penyakit hanya berdasarkan rupa kuku.

Dapatkan pemeriksaan jika perubahan kuku berlaku secara tiba-tiba, semakin teruk, sakit, bengkak, bernanah, berlaku tanpa kecederaan yang jelas atau disertai gejala lain seperti sesak nafas, mudah penat atau penurunan berat badan yang tidak disengajakan.

Tidak semua perubahan kuku berbahaya.
Tetapi perubahan yang luar biasa dan berterusan jangan dibiarkan begitu sahaja.

Public Health Malaysia

10/08/2026

Kebakaran hutan dan lahan di Kalimantan Barat semakin membimbangkan apabila keluasan kawasan terjejas dilaporkan mencecah sekitar 28,680.47 hektar setakat 25 Julai 2026.

Angka itu bersamaan kira-kira 287 kilometer persegi, iaitu hampir sebesar keseluruhan kawasan bandar Shah Alam. Bila disebut dalam hektar, angkanya mungkin sukar dibayangkan, tetapi jika kita bayangkan sebuah kawasan hampir sebesar sebuah bandar sedang terbakar, barulah kita dapat faham skala sebenar kejadian ini.

Kalimantan Barat bukan asing dengan kebakaran hutan dan tanah gambut, terutama ketika cuaca menjadi lebih panas dan kering. Dalam keadaan begini, tumbuhan kering mudah menjadi bahan bakar dan api boleh merebak dengan lebih cepat. Aktiviti pembakaran terbuka atau pembukaan tanah juga boleh menjadi pencetus, sebelum api merebak ke kawasan yang jauh lebih luas.

Masalah menjadi lebih rumit apabila kebakaran melibatkan tanah gambut.

Api di kawasan gambut tidak semestinya hanya membakar apa yang kita nampak di permukaan. Bara boleh terus hidup di bawah tanah, menyusuri lapisan bahan organik dan membara untuk tempoh yang panjang. Sebab itu ada keadaan apabila permukaan nampak sudah reda, tetapi api sebenarnya masih belum benar-benar padam.

Inilah antara sebab utama kebakaran gambut sangat sukar dikawal sepenuhnya.

Operasi pemadaman bukan sekadar menyembur air pada kawasan yang terbakar. Ia memerlukan pasukan darat, pemantauan udara, water bombing dan pemantauan berterusan bagi memastikan bara benar-benar padam serta mengelakkan titik api baharu daripada muncul.

Dalam kawasan yang sangat luas, cabaran menjadi lebih besar kerana pasukan pemadam bukan sahaja perlu memadam api yang sedang marak, tetapi pada masa yang sama perlu mencari dan mengawal titik panas lain yang mungkin sedang terbentuk.

Apa yang berlaku di Kalimantan Barat juga perlu diberi perhatian oleh Malaysia kerana wilayah itu terletak sangat hampir dengan Sarawak.

Asap tidak berhenti di sempadan negara.

Apabila arah angin membawa asap ke utara atau barat laut, pencemaran daripada kebakaran boleh bergerak merentasi sempadan dan mempengaruhi kualiti udara di Malaysia. Beberapa kawasan di Sarawak juga telah mula mengalami keadaan berjerebu yang dikaitkan dengan asap dari Kalimantan Barat.

Kesan kepada kesihatan bukan sekadar mata pedih atau bau asap.

Asap kebakaran mengandungi partikel halus termasuk PM2.5 yang cukup kecil untuk masuk jauh ke dalam paru-paru. Golongan seperti kanak-kanak, warga emas, ibu hamil, pesakit asma, COPD serta mereka yang mempunyai penyakit jantung lebih mudah mengalami kesan apabila kualiti udara merosot.

Jika kebakaran terus berlarutan dan keadaan cuaca kekal kering, risiko jerebu rentas sempadan juga boleh berterusan.

Kita mungkin tidak nampak api itu dari Malaysia, tetapi kita masih boleh terdedah kepada asapnya.

Sebab itu kebakaran di Kalimantan Barat bukan sekadar isu negara jiran.

Ia juga isu kesihatan awam serantau yang boleh sampai ke udara yang kita sedut setiap hari.

Pantau bacaan IPU, kurangkan aktiviti luar apabila kualiti udara merosot dan dapatkan pemeriksaan jika mengalami sesak nafas, wheezing, sakit dada atau simptom yang semakin teruk.

Public Health Malaysia

10/08/2026

PERENTAK JANTUNG: SIAPA YANG MEMERLUKANNYA?

Jantung mempunyai sistem elektrik semula jadi yang mengawal kadar dan rentak denyutan.

Apabila sistem ini terganggu, jantung boleh berdenyut terlalu perlahan, tidak teratur atau gagal menghantar darah secukupnya ke seluruh badan.

Dalam keadaan tertentu, pesakit mungkin memerlukan pacemaker atau perentak jantung.

Pacemaker ialah alat elektronik kecil yang biasanya ditanam di bawah kulit pada bahagian atas dada. Ia bukan bateri yang membuatkan jantung berdenyut sepanjang masa.

Sebaliknya, alat ini memantau denyutan jantung dan bertindak hanya apabila diperlukan.

SIAPA YANG MUNGKIN MEMERLUKANNYA?

Pacemaker boleh dipertimbangkan bagi pesakit yang mengalami:

1. Denyutan jantung terlalu perlahan

2. Sick sinus syndrome

3. Heart block

4. Gangguan denyutan selepas serangan jantung atau pembedahan

5. Kesan ubat yang diperlukan

6. Kegagalan jantung tertentu


BAGAIMANA PACEMAKER BERFUNGSI?

Pacemaker terdiri daripada bateri, komputer kecil dan satu atau lebih wayar halus yang disambungkan ke jantung.

Alat ini memantau aktiviti elektrik jantung secara berterusan. Jika denyutan menjadi terlalu perlahan atau isyarat elektrik gagal bergerak dengan baik, pacemaker akan menghantar impuls elektrik kecil kepada otot jantung.

Impuls ini merangsang jantung supaya berdenyut pada kadar yang sesuai.

Jika jantung berdenyut dengan normal, pacemaker hanya memantau dan tidak menghantar impuls yang tidak diperlukan.

ADAKAH SEMUA ORANG YANG BERDEBAR MEMERLUKANNYA?

Tidak.

Penilaian biasanya melibatkan ECG, pemantauan Holter, ujian darah dan pemeriksaan pakar jantung.

Segera dapatkan rawatan jika denyutan jantung perlahan disertai pengsan, sakit dada, sesak nafas teruk, kekeliruan atau badan menjadi sangat lemah.

Keputusan memasang pacemaker dibuat berdasarkan jenis gangguan elektrik jantung, gejala yang dialami dan risiko kepada pesakit.

Public Health Malaysia

Address

Bangunan Mahsuri, 1521, Jalan Sehala, 05000
Alor Setar
04-7318825

Telephone

0133020806

Website

Alerts

Be the first to know and let us send you an email when Klinik Darulaman posts news and promotions. Your email address will not be used for any other purpose, and you can unsubscribe at any time.

Shortcuts

Share