03/09/2026
RUTIN & RUANG UNTUK ANAK BERKEMBANG: ANAK BELAJAR TANGGUNGJAWAB MELALUI KERJA RUMAH KECIL
Jujur sahaja, selalunya lebih senang kalau kita yang buat sendiri.
Kemas mainan? Lebih cepat kalau kita yang kemas. Lap meja? Lebih bersih kalau tangan kita sendiri yang gerakkan kain itu. Bawa pinggan ke sinki? Lebih senang, sebab tak payah risau pinggan pecah.
Tapi setiap kali kita pilih jalan yang "lebih senang" ini, ada satu perkara yang turut kita ambil daripada anak - peluang untuk anak rasa dirinya berguna.
Anak tidak belajar tanggungjawab hanya melalui nasihat seperti "kena bertanggungjawab" atau "kena tolong Mama." Mereka belajar apabila diberi sesuatu yang kecil untuk diuruskan sendiri - kemas semula mainan selepas bermain, letakkan kasut di tempatnya, masukkan pakaian kotor ke dalam bakul, bantu lap meja selepas makan, bawa pinggan sendiri ke sinki.
Perkara-perkara ini mungkin nampak terlalu kecil kepada kita. Tetapi bagi seorang anak, ia membawa satu mesej yang besar:
"Aku juga ada peranan dalam keluarga ini."
Bayangkan selepas makan, kita minta anak bantu mengelap meja. Mungkin pada awalnya dia buat dengan tidak sempurna. Ada bahagian yang masih basah. Ada kotoran yang tertinggal. Naluri kita mungkin mahu mengambil kain itu daripada tangannya - "Biar Mama buat. Kamu buat tak bersin pun."
Tetapi kita boleh pilih untuk berhenti sekejap. Dan bila akhirnya anak habiskan tugasannya sambil berkata bangga, "Saya dah siap lap meja!" balaslah dengan seikhlas itu jugalah, "Terima kasih banyak, kamu sangat membantu Mama!"
Perbezaannya nampak kecil. Tetapi anak bukan sahaja sedang belajar mengelap meja. Dia sedang belajar bahawa usahanya dihargai, kesilapan boleh diperbaiki, dan dia mampu melakukan sesuatu untuk membantu orang lain.
CUBA LAKUKAN;
1. Beri tugas yang sesuai dengan umur
Mulakan dengan tugasan ringkas yang mampu mereka lakukan seperti kemas mainan sendiri, lap meja, atau bawa pinggan ke sinki. Tanggungjawab memerlukan latihan, dan ia tidak muncul tiba-tiba apabila anak sudah besar.
2. Jadikan sebahagian daripada rutin
Lakukan pada masa yang sama setiap hari supaya jadi kebiasaan. Contohnya, kemas mainan sebelum mandi, atau lap meja sejurus selepas makan malam. Rutin yang konsisten membantu anak mengingati tugasannya tanpa perlu sering diarah.
3. Puji usaha, bukan hasil sempurna
Hargai usaha anak, bukan sekadar hasil yang siap atau cepat. Kadang-kadang dia leka, kadang-kadang dia perlu diingatkan berkali-kali, dan itu semua normal dalam proses belajar. Cukup dengan, "Terima kasih sebab tolong Mama. Ada sikit lagi dekat sini, cuba lap bahagian ni p**a," berbanding terus mengambil alih kerana rasa tidak cukup bersih.
4. Jadi Contoh Terbaik
Anak belajar lebih banyak daripada pemerhatian berbanding arahan. Apabila mereka nampak kita sendiri turut menjaga ruang rumah dengan penuh tanggungjawab, barulah nilai ini benar-benar tertanam sebagai cara hidup, bukan hanya sekadar tugasan yang dipaksa.
Pada masa yang sama, kita juga perlu berhati-hati supaya kerja rumah tidak berubah menjadi hukuman;
"Kamu buat salah, jadi kamu kena kemas."
Sebaliknya, kita mahu anak memahami bahawa menjaga ruang yang digunakan bersama adalah sebahagian daripada kehidupan sebagai anggota keluarga. Kita semua menggunakan rumah ini, jadi kita semua ada bahagian untuk menjaganya.
Anak yang diberi tanggungjawab kecil secara konsisten akan mendapat lebih banyak peluang untuk membina kemahiran seperti mengikuti arahan, menyelesaikan tugasan, mengurus barang sendiri, dan memahami kesan tindakannya terhadap orang lain. Dan apabila mereka berjaya melakukannya, walaupun dalam perkara kecil, anak akan rasa yakin dan mampu dengan kebolehan dirinya sendiri. Rasa mampu inilah yang kita mahu anak bawa ke dalam perkara lain dalam hidupnya.
Di Akademi Bakat ABS, kami percaya perkara kecil dalam rutin harian juga merupakan sebahagian daripada pendidikan. Anak-anak bukan hanya belajar melalui buku dan aktiviti di dalam kelas. Mereka juga belajar apabila diberi tanggungjawab, apabila diminta menjaga ruang yang digunakan bersama, dan apabila diberi kepercayaan untuk melakukan sesuatu mengikut kemampuan mereka.
Kami mahu mereka tahu bahawa mereka bukan sekadar datang untuk menerima. Mereka juga mempunyai sesuatu untuk diberikan.
Hubungi kami di wa.me/601113157749 untuk menempah sesi lawatan.