11/10/2026
Kita mahu anak berjaya. Pastikan kita juga mengajar mereka menghadapi kecewa.
Dalam hidup, anak akan mendengar perkataan “tidak”.
Ada kehendak yang tidak dipenuhi.
Ada pertandingan yang tidak dimenangi.
Ada persahabatan yang tidak menjadi seperti diharapkan.
Di situlah anak memerlukan bimbingan kita untuk mengurus emosi.
Beri mereka ruang bercerita supaya rasa sakit tidak dipendam sendirian. Bantu mereka mengolah marah tanpa membalas dendam, dan menghadapi kecewa tanpa menyakiti orang lain.
Didik anak untuk memahami:
“Adik boleh marah, tetapi tidak boleh memukul.”
“Adik boleh kecewa, tetapi tidak boleh menghina.”
“Adik boleh tidak bersetuju, tetapi perlu menghormati.”
Semua emosi boleh dirasai. Tidak semua tindakan boleh diterima.
Ibu bapa, tanggungjawab kita juga ialah mengambil serius apabila anak mengejek, memalukan, mengugut atau menyisihkan orang lain. Jangan cepat menutupnya dengan, “Biasalah, budak-budak.”
Tegur perbuatannya. Dengar apa yang berlaku. Bimbing anak meminta maaf, membaiki kesalahan dan mengubah tingkah laku.
Pada masa yang sama, ajar anak menjaga batas dirinya.
Ajar mereka berkata:
“Berhenti. Saya tak suka.”
“Awak tak boleh buat begitu kepada saya.”
“Saya akan minta bantuan.”
Bimbing mereka menjauh daripada situasi yang tidak selamat dan memberitahu orang dewasa yang dipercayai. Jika belum dibantu, terus beritahu orang dewasa lain.
Anak yang berdaya tahan tidak perlu menanggung semuanya sendirian. Meminta pertolongan juga satu keberanian.
Jika anak dibuli, itu bukan salahnya. Tanggungjawab menghentikan buli tidak boleh diletakkan pada bahu anak semata-mata. Kita mesti mendengar, melindungi dan bertindak.
Di rumah, tunjukkan cara kita mengurus marah, menerima penolakan dan meminta maaf. Anak belajar daripada cara kita melayan mereka dan orang lain.
Didik anak yang menjaga maruah orang lain, serta tahu bahawa maruah dirinya juga wajib dihormati.
Malam ini, cuba tanya:
“Adakah sesuatu yang buat kamu sedih atau marah, tetapi kamu belum berani ceritakan?”
Dengar dahulu. Beri ruang. Bimbing dengan kasih dan batas yang jelas.
Riena Raed
Psychology | Mindset | Leadership