14/08/2026
“PULSE OF HOPE”: MAHASISWA UPNM MENCERIAKAN WARGA CILIK HOSPITAL TABTAR
Oleh : Aqilah M.
12 Ogos 2026 (Rabu) – Hospital Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani, Hospital Pakar Kanak-kanak UKM (Hospital TABTAR) telah menerima kunjungan seramai 34 orang pelajar daripada Kelab Forte Drumcorp, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) menerusi Program Sukarelawan “Pulse of Hope”.
Program ini yang diketuai oleh Encik Adam Hariz Kamisan merupakan inisiatif Kelab Forte Drumcorp untuk menzahirkan sifat keprihatinan dan tanggungjawab sosial mahasiswa UPNM terhadap komuniti, khususnya kanak-kanak yang sedang menerima rawatan di Hospital TABTAR.
Program dimulakan dengan sesi taklimat ringkas mengenai Hospital TABTAR yang disampaikan oleh Encik Mohd Nizam Hashim, wakil daripada Jabatan Komunikasi Korporat & Khidmat Pelanggan. Sesi kemudiannya diteruskan dengan pertukaran cenderahati antara kedua-dua pihak serta pembahagian kumpulan bagi menjalankan aktiviti interaktif bersama para pesakit di Klinik Pakar, Wad Pediatrik 1 dan Wad Pediatrik 2.
Antara aktiviti yang dijalankan termasuklah menghias kayu drum, permainan papan dan aktiviti mewarna yang bertujuan untuk menceriakan suasana, di samping memberikan sokongan moral kepada para pesakit. Selain itu, para pelajar turut mengambil kesempatan untuk menyumbang dua set tikar permainan bagi kegunaan para pesakit di Sekolah Dalam Hospital.
Pihak Hospital TABTAR amat berbesar hati dan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan serta ucapan terima kasih kepada pihak UPNM, khususnya Kelab Forte Drumcorp, dan semua pelajar yang terlibat atas usaha murni, semangat kesukarelawanan serta keprihatinan yang dizahirkan menerusi penganjuran program ini.
Pihak hospital amat menghargai kerjasama erat yang terjalin dan berharap agar hubungan baik antara Hospital TABTAR dan UPNM dapat terus diperkukuh melalui penganjuran pelbagai program khidmat masyarakat pada masa akan datang.