11/10/2026
DESTINASI BERBEZA, KASIH TETAP SAMA
Disediakan oleh: Aqilah M.
10 Oktober 2026 (Sabtu) – Meskipun berdepan perubahan lokasi pada saat akhir susulan penutupan sekolah akibat jerebu, usaha untuk terus berbakti kepada masyarakat tetap diteruskan. Hasil usaha dan kerjasama erat urus setia dalam mendapatkan lokasi alternatif, program Mobile Community Service anjuran Jabatan Komunikasi Korporat & Khidmat Pelanggan, Hospital Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani, Hospital Pakar Kanak-kanak UKM (Hospital TABTAR) dengan kerjasama Unit Oftalmologi, Hospital TABTAR serta Program Optometri dan Sains Penglihatan, Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), berjaya dilaksanakan di Rumah Anak-Anak Yatim Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj (RAYSAS).
Keistimewaan program kali ini turut terserlah dengan penglibatan ibu bapa dan penjaga penghuni RAYSAS yang hadir memeriahkan Program Hari Keluarga RAYSAS dengan kerjasama pelajar-pelajar Politeknik Kota Melaka. Penganjuran bersama ini bukan sahaja mengeratkan hubungan silaturahim, malah membuka ruang untuk memperluas akses kepada perkhidmatan kesihatan dalam kalangan komuniti.
Program ini telah dirasmikan oleh YBhg. Datuk Wira Hj. Yaakub Md Amin, Pengerusi RAYSAS, Majlis Agama Islam Melaka dan dihadiri oleh YBhg. Prof. Dr. Hamzaini Abdul Hamid, Pengarah Hospital Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani, Hospital Pakar Kanak-kanak UKM (Hospital TABTAR) bersama YBrs. Prof. Madya Dr. Mohd ‘Izzuddin Hairol, Timbalan Dekan (Siswazah), Fakulti Sains Kesihatan UKM.
Turut hadir ialah YBrs. Puan Hadijah Kodiron, Timbalan Pengarah Politeknik Kota Melaka, YBrs. Encik Mohd ‘Atqullah Muhammad, Pengurus RAYSAS, Majlis Agama Islam Melaka dan YBrs. Encik Mohd Ehsan Rajiain, Ketua Jabatan Komunikasi Korporat & Khidmat Pelanggan (JKKKP) merangkap Pengerusi Program Mobile Community Service JKKKP, Hospital TABTAR.
Dalam ucapan alu-aluan, YBhg. Prof. Dr. Hamzaini Abdul Hamid menyatakan bahawa program Mobile Community Service merupakan satu bentuk sokongan dari Kementerian Pendidikan Tinggi dan program sedemikian mencerminkan komitmen Hospital TABTAR dalam mendekati masyarakat melalui program-program bersifat pendidikan kesihatan dan jagarawatan secara _mobile_.
Beliau turut menegaskan bahawa usaha penjagaan kesihatan bukan sahaja tertumpu kepada pemberian rawatan apabila seseorang mengalami masalah kesihatan, malah merangkumi pengukuhan aspek pencegahan, pengesanan awal dan pendidikan kesihatan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan penjagaan kesihatan secara menyeluruh.
Menerusi program bertemakan “Jom Celik Mata! Program Kesedaran Kesihatan Mata Kanak-kanak”, pemeriksaan kesihatan mata pada awalnya disasarkan kepada golongan kanak-kanak bagi meningkatkan kesedaran tentang kepentingan penjagaan kesihatan mata seawal usia muda. Walau bagaimanapun, perkhidmatan pemeriksaan mata ini turut dipanjangkan kepada peserta dalam kategori golongan rentan, sekali gus memberi peluang kepada lebih ramai peserta untuk mengetahui status kesihatan mata masing-masing.
Selain pemeriksaan mata, kanak-kanak turut menjalani pemeriksaan kesihatan asas yang merangkumi penimbangan berat badan dan pengukuran tinggi bagi membantu menilai pertumbuhan fizikal mereka. Pemeriksaan kesihatan asas turut melibatkan perkhidmatan kejururawatan yang membantu melaksanakan saringan kesihatan, termasuk pemeriksaan tekanan darah dan paras gula dalam darah kepada ibu bapa dan penjaga, barisan pentadbir RAYSAS serta pelajar Politeknik Kota Melaka.
Inisiatif ini selaras dengan pendekatan penjagaan kesihatan yang menekankan prinsip “Cegah — Kesan Awal — Rawat dan Pantau”, bagi meningkatkan kesedaran tentang kepentingan pencegahan penyakit, pengesanan awal serta rawatan dan pemantauan kesihatan secara berterusan. Melalui pendekatan ini, masyarakat dapat dididik untuk lebih peka terhadap status kesihatan diri dan mengambil langkah sewajarnya demi kesejahteraan jangka panjang.
Bagi memeriahkan program, sebanyak tujuh stesen aktiviti (checkpoint) disediakan untuk disertai oleh para peserta. Daripada jumlah tersebut, lima stesen dikendalikan oleh pelajar Politeknik Kota Melaka yang menawarkan pelbagai aktiviti interaktif, termasuk sukaneka dan cabaran berkumpulan. Manakala, dua stesen lagi, iaitu pertandingan mewarna dan pemeriksaan kesihatan, dikendalikan oleh urus setia Hospital TABTAR.
Bagi menambah kemeriahan program, beg cenderamata turut diagihkan kepada para peserta yang hadir, termasuk ibu bapa dan penjaga, barisan pentadbir RAYSAS serta pelajar Politeknik Kota Melaka. Pihak Hospital TABTAR turut berpeluang menyantuni sebuah lagi pusat komuniti di bawah satu pengurusan yang sama iaitu penghuni di Kompleks Anak Yatim Fatimah Al-Zaharah (KAYFAZ) yang dijemput bersama. Program ini telah melibatkan seramai 174 orang peserta, terdiri daripada 59 orang penghuni RAYSAS dan KAYFAZ berumur antara 2 hingga 18 tahun serta 50 orang pelajar Politeknik Kota Melaka.
Inisiatif berkongsi kegembiraan ini turut diperluas melalui pengagihan beg cenderamata kepada penghuni di Rumah Kanak-Kanak Tengku Budriah, Cheras. Program ini turut menerima sokongan daripada pihak penaja melalui sumbangan makanan dan minuman daripada McDonald’s Tun Perak, Melaka dan Yakult Melaka.
Jabatan Komunikasi Korporat & Khidmat Pelanggan, Hospital TABTAR merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak penaja, pihak pengurusan RAYSAS, Politeknik Kota Melaka serta semua pihak yang terlibat atas kerjasama, sokongan dan komitmen yang diberikan dalam menjayakan program ini.
Sesungguhnya, perubahan destinasi bukan penghalang untuk terus berbakti. Sebaliknya, usaha ini membuktikan bahawa dengan semangat kerjasama dan keprihatinan, manfaat kesihatan serta kegembiraan dapat terus disampaikan kepada komuniti yang memerlukan. Semoga inisiatif seumpama ini terus menjadi pemangkin dalam memupuk kesedaran kesihatan dan menyemai nilai keprihatinan dalam masyarakat, kerana setiap insan berhak mendapat perhatian, penjagaan dan peluang untuk menjalani kehidupan yang lebih sihat.