04/09/2026
Could that growth on your eye be a pterygium? 👁️
Learn the signs, protect your eyes from UV, and get checked if it starts affecting your vision.
“ADA DAGING TUMBUH MASUK KE MATA…”
Pernah nampak bahagian putih mata seperti mempunyai selaput atau isi berwarna merah jambu yang perlahan-lahan menjalar ke arah anak mata?
Ini dipanggil pterygium.
Pterygium ialah pertumbuhan tisu pada konjunktiva, iaitu lapisan nipis yang menutupi bahagian putih mata. Ia biasanya bermula dari bahagian tepi berhampiran hidung dan boleh memanjang ke atas kornea.
Kenapa ia berlaku?
Pendedahan berpanjangan kepada sinaran UV merupakan faktor risiko penting. Sebab itu ia lebih kerap berlaku pada individu yang banyak berada di luar rumah, terutama dalam persekitaran panas, berdebu dan berangin.
Pada awalnya mungkin cuma nampak seperti sedikit “daging” pada mata.
Tetapi apabila semakin besar, ia boleh menyebabkan mata:
• Merah dan mudah iritasi
• Terasa berpasir atau seperti ada benda asing
• Kering, pedih atau gatal
• Mengganggu bentuk kornea dan menyebabkan astigmatisme
• Menjejaskan penglihatan jika tumbuh semakin hampir ke bahagian tengah kornea
Tidak semua pterygium perlu dibedah.
Jika kecil dan tidak mengganggu penglihatan, doktor mungkin hanya memantau serta merawat simptom seperti mata kering atau iritasi.
Tetapi jika ia semakin membesar, mengganggu penglihatan atau menyebabkan masalah yang ketara, pembedahan mungkin dipertimbangkan.
Yang ramai tak tahu:
Cermin mata hitam bukan sekadar aksesori.
Jika anda banyak bekerja atau beraktiviti di luar, gunakan cermin mata yang mempunyai perlindungan UV yang baik. Topi bertepi lebar juga membantu mengurangkan pendedahan cahaya matahari secara langsung.
Dan jangan cuba titiskan sembarangan ubat mata untuk “hilangkan daging” tersebut.
Jika ada sesuatu yang kelihatan semakin tumbuh ke bahagian hitam mata, buat pemeriksaan mata.
Mata kita cuma ada dua. Jangan tunggu penglihatan mula terganggu baru mahu menjaganya.
— Public Health Malaysia