25/12/2025
CURANG ITU PILIHAN, BUKAN
KEBETULAN.
(Petikan daripada buku PERANGKAP CURANG).
Media sosial telah menjadi salah satu punca terbesar keretakan rumah tangga bagi pasangan muda, yang baru berkahwin juga pasangan yang sudah berusia separuh abad.
Inilah akibat tidak menjaga syariat, adab dan akhlak semasa bersembang melalui mesej peribadi (direct message).
Tidak kira lelaki dengan wanita ajnabi ataupun wanita dengan lelaki yang
bukan mahram, perbualan yang asalnya kelihatan remeh akhirnya menjadi pintu kepada dosa yang lebih berat.
Asalnya hubungan bermula di hujung jari, namun kemudian berakhir dengan tangisan di hujung hati.
Ada yang mengeluh, “Apakan daya... Kami hanya berbual-bual
biasa sahaja pada mulanya, tetapi entah bagaimana, akhirnya kami
terlanjur.”
Hakikatnya, tiada istilah “terlanjur” dalam perkara maksiat, termasuk juga khalwat di alam maya atau apa-apa jua perbuatan yang menghampiri zina.
Ini kerana bersembang (chatting) dalam
perhubungan yang terlarang ini sebenarnya satu proses yang
bermula dengan:
1. Sesuatu yang biasa-biasa, kemudian terbit perasaan luar biasa.
2. Daripada sekadar kawan, hubungan itu bercambah menjadi kekasih.
3. Daripada angan-angan, ia cuba direalisasikan.
4. Daripada berbual-bual biasa, berkembang menjadi luahan hati, kemudian terbit rindu dan membuahkan janji.
Akhirnya ia disuburkan dengan tindakan.
Adakah semua ini kebetulan?
Asalnya tangan yang bertepuk kedua-dua belah, akhirnya pelaku
semakin menghampiri zina sehingga zina benar-benar terjadi.
Adakah semua itu kita terjadi kerana terlanjur?
Tidak!
Sedangkan Allah SWT sudah berfirman:
Maksudnya: “Dan Kami telah menunjukkan kepadanya dua jalan
(kebaikan dan kejahatan).”
(Surah al-Balad 90: 10)
Jadi selingkuh terjadi bukan kerana terlanjur, tetapi ia berlaku atas pilihan seseorang.
Ia akibat yang kita tuai daripada proses yang kita tempuh dan proses itu semestinya mengambil masa.
Ia bukan terjadi sekelip mata. Ia mengambil masa sedikit demi
sedikit dan akhirnya sampailah pelakunya jatuh terjerumus.
Itu bukan bererti kita terlanjur, tetapi kita yang memilih untuk curang,
memilih untuk khianat dan memilih untuk melakukan dosa yang
besar.
Jangan Berani dekati justeru Allah SWT berfirman:
"Dan aku (syaitan) tidak mempunyai sebarang kuasa terhadap kamu, melainkan aku hanya menyeru kamu, lalu kamu menyahut seruanku.” Surah Ibrahim (14: 22)
Jadi jelas, curang itu pilihan, bukan kebetulan.