04/09/2026
“Doktor, uncle sudah seminggu susah makan, susah minum… dan langsung tak boleh baring untuk tidur.”
Itulah panggilan yang kami terima daripada anak saudara seorang uncle Cina berusia 64 tahun.
Uncle menghidap kanser paru-paru tahap 4 dan memilih untuk tidak menjalani kemoterapi. Fokus rawatan beliau sekarang adalah untuk memastikan beliau kurang sakit, kurang sesak dan lebih selesa.
Apabila kami sampai ke rumah, uncle kelihatan sangat lemah dan sesak nafas. Setiap kali cuba baring, nafas menjadi semakin sempit.
Selepas pemeriksaan dan imbasan ultrasound di rumah, kami dapati keadaan paru-parunya sudah banyak terjejas oleh ketumbuhan dan pengump**an cecair. Jantungnya juga semakin lemah. Pada masa yang sama, terdapat tanda jangkitan paru-paru.
Bayangkan paru-paru seperti span. Bila ruang di dalamnya semakin dipenuhi ketumbuhan dan cecair, semakin sedikit ruang yang tinggal untuk udara masuk. Sebab itu pesakit boleh terasa sangat sesak, terutama apabila berbaring.
Kami mulakan ubat melalui salur darah untuk membantu membuang lebihan cecair, bersama antibiotik untuk merawat jangkitan.
Selepas rawatan, uncle mula bernafas dengan lebih selesa dan akhirnya dapat tidur dengan lebih baik. ❤️
Yang paling penting, beliau dapat terus berada di rumah bersama keluarga dan tidak perlu melalui kemasukan ke hospital yang mungkin lebih memenatkan dalam keadaan beliau sekarang.
Ramai orang fikir rawatan paliatif bermaksud “sudah tiada apa yang boleh dibuat.”
Sebenarnya tidak.
Walaupun kita mungkin tidak dapat menyembuhkan penyakit, kita masih boleh membantu pesakit:
kurangkan sesak, kurangkan sakit, bantu mereka tidur, makan atau minum dengan lebih selesa, dan menjaga maruah mereka sehingga ke penghujung kehidupan.
Kadang-kadang kejayaan rawatan bukanlah memanjangkan hidup selama mungkin.
Kadang-kadang kejayaan itu semudah…
seorang pesakit yang sebelum ini tercungap-cungap akhirnya dapat tidur dengan tenang malam itu. 🤍
Gambar telah di edit untuk menjaga privasi pesakit