02/11/2026
LAWATAN PENANDA ARAS EKOSISTEM KONDUSIF SEKTOR AWAM (EKSA) HOSPITAL MIRI KE JABATAN KASTAM DIRAJA MALAYSIA CAWANGAN MIRI
Miri, 20 Oktober 2026 – Hospital Miri telah mengadakan Lawatan Penanda Aras Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) ke Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Cawangan Miri pada 20 Oktober 2026. Lawatan ini disertai oleh seramai 15 orang ahli Jawatankuasa EKSA Hospital Miri yang diketuai oleh Puan Rita Elisha Mering, Timbalan Pengarah (Pengurusan) merangkap Pengerusi Jawatankuasa EKSA Hospital Miri.
Lawatan ini bertujuan untuk meninjau pelaksanaan EKSA di JKDM Cawangan Miri, di samping mendapatkan perkongsian ilmu, khidmat nasihat dan panduan berkaitan amalan terbaik yang boleh dijadikan rujukan dalam memperkukuh pelaksanaan EKSA di Hospital Miri.
Rombongan Hospital Miri telah disambut oleh YBrs. Tuan Maszerull bin Bujang, Ketua Kastam Stesen Miri, bersama Encik Charlie Lawai, Penolong Pengarah Kastam dan Puan Hetty binti Razali, Pegawai Kastam Kanan. Sesi lawatan turut disusuli dengan taklimat pelaksanaan EKSA di JKDM Cawangan Miri yang disampaikan oleh Encik Jena anak Jelema, Penolong Pengarah Kastam II merangkap Fasilitator Jawatankuasa EKSA JKDM.
Melalui lawatan ini, rombongan Hospital Miri berpeluang melihat secara lebih dekat pendekatan dan amalan terbaik yang dilaksanakan oleh JKDM, selain bertukar pandangan serta berkongsi pengalaman dalam usaha mewujudkan persekitaran kerja yang bersih, kemas, teratur, selamat dan kondusif.
Lawatan penanda aras ini bukan sahaja memberi nilai tambah kepada usaha penambahbaikan pelaksanaan EKSA di Hospital Miri, malah menjadi platform untuk memperkukuh hubungan kerjasama dan perkongsian strategik antara kedua-dua organisasi.
Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Cawangan Miri, khususnya YBrs. Tuan Maszerull bin Bujang, Encik Charlie Lawai, Puan Hetty binti Razali dan Encik Jena anak Jelema serta seluruh warga JKDM atas sambutan mesra, kesudian berkongsi ilmu dan pengalaman serta layanan baik sepanjang lawatan ini. Segala perkongsian dan kerjasama yang diberikan amat dihargai dan diharapkan dapat menjadi pemangkin kepada penambahbaikan berterusan pelaksanaan EKSA di Hospital Miri.
Bersama Membudayakan Persekitaran Kerja yang Kondusif, Bersih, Teratur dan Cemerlang!