06/08/2026
Rakyat Malaysia ditahan selepas lebih 10kg dadah ditemui dalam but kereta
Seorang lelaki rakyat Malaysia ditahan pihak berkuasa Singapura selepas lebih 10 kilogram g***a dan syabu ditemukan dalam but keretanya di Pusat Pemeriksaan Woodlands, Sabtu lalu.
Suspek berusia 22 tahun itu ditahan ketika memasuki republik berkenaan dengan kereta menggunakan nombor pendaftaran negara ini.
Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) Singapura dalam kenyataan berkata, pegawainya mengarahkan kereta itu menjalani pemeriksaan lanjut.
Menurutnya, pemeriksaan menemukan sebuah kotak dalam but kereta yang mengandungi dua blok bahan disyaki dadah.
“Pegawai Biro Narkotik Pusat (CNB) Singapura kemudian dipanggil bagi menjalankan pemeriksaan lanjut terhadap suspek dan kereta berkenaan.
“Pemeriksaan itu menemukan lebih banyak bahan terlarang yang disembunyikan di dalam but kereta,” katanya.
Menurut ICA, keseluruhan rampasan terdiri daripada kira-kira 8.646 kilogram g***a dan 1.569 kilogram syabu dianggarkan bernilai lebih S$361,000 atau RM1.15 juta.
Menurut ICA, jumlah dadah itu boleh menampung bekalan kepada kira-kira 2,132 penagih selama seminggu.
Mengikut Seksyen 7 Akta Penyalahgunaan Dadah 1973 Singapura, individu yang mengimport atau mengeksport lebih 250 gram methamphetamine atau 500 gram g***a boleh berdepan hukuman mati.
Oleh Nor Azizah Mokhtar
Buletin TV3 05 Ogos 2026, 8:15pm
***a