31/07/2026
BUKAN AHLI PSIKOLOGI KLINIKAL SAHAJA MEMPUNYAI KERJAYA YANG "MENOLONG" ORANG
Diagnosis dan rawatan penyakit mental bukanlah satu-satunya cara ahli psikologi membantu manusia.
Kepada graduan psikologi yang tidak berpeluang melanjutkan pengajian ke peringkat Sarjana Psikologi Klinikal (Clinical Psychology), tidak perlu berasa rendah diri sekiranya akhirnya memilih atau beralih kepada sub-bidang psikologi bukan klinikal (non-clinical psychology). Aspirasi kerjaya mungkin berubah, tetapi makna dan sumbangan kerjaya itu tidak semestinya berkurang.
Sebagai ahli psikologi bukan klinikal, kita masih berpeluang membantu ramai individu meningkatkan prestasi, kesejahteraan psikologi dan kualiti hidup mereka. Kita juga masih mampu menikmati kerjaya yang bermakna, merasai kepuasan bekerja dan menjalani kehidupan yang sejahtera.
Malah, ramai ahli psikologi klinikal (dan pakar psikiatri) sendiri menghargai sumbangan ahli psikologi bukan klinikal yang membantu mencegah masalah psikologi, memperkukuh kesejahteraan serta mengurangkan faktor risiko sebelum keadaan menjadi lebih serius. Kerjasama antara pelbagai sub-bidang psikologi sebenarnya memudahkan tugas mereka dalam mendiagnosis dan merawat penyakit mental yang semakin meningkat.
Antara profesion yang paling awal wajar menyedari betapa pentingnya peranan mereka ialah ahli psikologi kaunseling atau counselling psychologist (serta rakan-rakan kaunselor non-psikologis).
Mereka merupakan barisan hadapan dalam membantu individu yang masih berada pada tahap fungsi psikologi yang baik tetapi sedang berdepan pelbagai cabaran kehidupan. Mereka juga sering menjadi profesional pertama yang mengesan tanda-tanda awal gangguan mental, sebelum membuat rujukan kepada ahli psikologi klinikal (atau pakar psikiatri) apabila diperlukan.
Begitu juga dengan ahli psikologi dalam pelbagai sub-bidang lain. Mereka membantu kelompok manusia yang jauh lebih besar melalui intervensi di sekolah, organisasi, hospital, komuniti, arena sukan, sistem keadilan dan pelbagai konteks lain, bukan hanya melalui sesi empat mata di bilik terapi.
Antara contohnya ialah:
1. Ahli Psikologi Organisasi โ Meningkatkan prestasi dan kesejahteraan psikologi majikan, pekerja, pelanggan dan organisasi.
2. Ahli Psikologi Pendidikan โ Meningkatkan prestasi dan kesejahteraan psikologi pentadbir sekolah, pentadbir institusi pengajian tinggi, guru, pensyarah, pelajar dan mahasiswa.
3. Ahli Psikologi Sukan โ Meningkatkan prestasi dan kesejahteraan psikologi pentadbir sukan, pengurus sukan, jurulatih, atlet, ahli kelab penyokong, penonton serta individu yang bersukan sebagai aktiviti rekreasi.
4. Ahli Psikologi Kesihatan โ Meningkatkan prestasi dan kesejahteraan psikologi doktor, ahli farmasi, jururawat, pakar pemakanan, petugas kesihatan, pesakit serta ahli keluarga pesakit.
5. Ahli Psikologi Persekitaran โ Meningkatkan prestasi dan kesejahteraan psikologi penghuni rumah, pekerja dalam bangunan, penduduk setempat, pelancong serta warga bumi secara keseluruhannya.
6. Ahli Psikologi Politik โ Meningkatkan prestasi dan kesejahteraan psikologi pemimpin kerajaan, pemimpin pembangkang, ahli parti politik, penyokong, pengundi, rakyat atas pagar dan masyarakat umum.
7. Ahli Psikologi Ekonomi โ Meningkatkan prestasi dan kesejahteraan psikologi peniaga, penjual, pembeli, pengguna, penyimpan, pelabur, pewaris harta, pemberi kebajikan dan penerima kebajikan.
8. Ahli Psikologi Forensik โ Meningkatkan prestasi dan kesejahteraan psikologi polis, mangsa, saksi, tertuduh, hakim, peguam, pegawai penjara, pegawai rehabilitasi serta komuniti yang terkesan oleh jenayah.
Dan masih banyak lagi sub-bidang psikologi yang menyumbang kepada masyarakat, sekadar menyebut beberapa contoh.
Negara memerlukan semua sub-bidang psikologi untuk membina Malaysia yang bukan sahaja berprestasi tinggi, malah sejahtera dari segi psikologi. Kita memerlukan kemajuan teknologi yang sentiasa diseimbangkan dengan pemahaman terhadap tingkah laku, emosi, motivasi dan kesejahteraan manusia.
Hakikatnya, tiada sub-bidang psikologi yang lebih mulia atau lebih penting daripada sub-bidang yang lain. Setiap satunya mempunyai kepakaran, skop amalan dan peranan tersendiri. Ahli psikologi yang profesional mengetahui batas kepakaran masing-masing, tidak mencampuri bidang yang bukan kompetensinya, serta sentiasa bersedia merujuk dan bekerjasama dengan profesional lain demi kepentingan individu, organisasi dan masyarakat.