07/08/2026
BENGKEL GOOGLE STUDIO SIRI KETIGA, BAHAGIAN PERKHIDMATAN FARMASI, JABATAN KESIHATAN NEGERI PAHANG
🗓️ 5 - 6 Ogos 2026
Satu sesi penganjuran Bengkel Google Studio Siri Ketiga melibatkan warga kerja Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) telah berjaya diadakan selama dua hari bertempat di Bilik Mesyuarat Farmasi, Aras 2 JKN Pahang.
Sesi perkongsian ilmu yang bermakna ini telah dikendalikan sepenuhnya oleh penceramah, En. Adi Asraf bin Yusof, Ketua Penolong Pengarah Kanan (Amalan & Perkembangan Farmasi).
Objektif utama bengkel ini adalah untuk mendedahkan serta mengukuhkan kemahiran peserta dalam pengurusan data secara digital. Sepanjang bengkel berlangsung, para peserta telah dilatih dengan pelbagai modul teknikal termasuk pengenalan kepada Google Workspace, manipulasi data dan Essential Pharmacy Formulas, penyediaan carta visualisasi melalui Looker Studio, serta kemahiran automasi menggunakan Apps Script. Sesi latihan praktikal juga telah dilaksanakan bagi memantapkan lagi pemahaman secara terus (hands-on).
Bengkel ini menjadi platform penting dalam mengasah kemahiran teknikal dan analisis data digital di peringkat operasi farmasi, di samping menyokong transformasi prosedur kerja yang lebih sistematik dan berkesan.
Semoga bengkel ini berjaya mencapai objektif yang diharapkan, seterusnya melancarkan segala proses pelaksanaan pendigitalan perkhidmatan farmasi di Pahang sekali gus melonjakkan kualiti penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat.