17/06/2026
GULA NORMAL, TAPI KOLESTEROL TINGGI. SELAMAT KE?
Ramai orang rasa lega bila bacaan gula normal.
“Alhamdulillah, tak ada diabetes.”
Betul. Itu berita baik.
Tapi jangan lupa satu lagi bacaan yang boleh buat salur darah tersumbat secara senyap: kolesterol LDL.
LDL apabila terlalu tinggi, ia boleh terkumpul dalam dinding salur darah dan membentuk plak.
Lama-lama, plak ini buat laluan darah makin sempit.
Bayangkan salur darah macam jalan raya.
Kalau gula tinggi, permukaan jalan lebih mudah rosak dan retak.
Tapi kalau LDL tinggi, “timbunan lemak” masih boleh terkumpul di tepi jalan itu.
Maksudnya, walaupun gula normal, kalau LDL tinggi, risiko salur darah sempit tetap ada.
Gula tinggi memang boleh mempercepatkan kerosakan salur darah. Tapi gula normal bukan bermaksud salur darah confirm selamat.
Lebih-lebih lagi kalau ada faktor lain seperti darah tinggi, merokok, obesiti, kurang bersenam, sejarah keluarga serangan jantung muda, atau triglyceride tinggi.
Yang menakutkan, proses ini selalunya tidak sakit.
Tiada tanda.
Tiada rasa sempit.
Tiada bunyi amaran.
Tahu-tahu, plak boleh pecah. Darah beku terbentuk. Salur darah tersumbat tiba-tiba.
Kalau berlaku di jantung, boleh jadi serangan jantung.
Kalau berlaku di otak, boleh jadi strok.
Jadi jangan tengok gula sahaja.
Tengok juga LDL, HDL, triglyceride, tekanan darah, berat badan dan gaya hidup.
Mudahnya:
Gula tinggi mempercepatkan kerosakan.
LDL tinggi membina plak.
Dua-dua boleh membawa kepada salur darah tersumbat.
Gula normal itu bagus. Tapi kalau kolesterol tinggi, jangan buat-buat tenang.
Salur darah boleh “jem” lama sebelum badan mula bagi signal.