12/08/2026
Hari ini, Sekretariat Himpun bersatu bersama pertubuhan masyarakat sivil (CSO), gerakan mahasiswa dan anak muda telah menyerahkan satu memorandum rasmi kepada Kementerian Dalam Negeri di Putrajaya.
Penyerahan memorandum ini dilaksanakan susulan keputusan Mahkamah Persekutuan yang memutuskan bahawa Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736) adalah tidak berperlembagaan dan terbatal, memandangkan hak untuk berhimpun secara aman dijamin di bawah Perkara 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan.
Sehubungan dengan itu, kami mengemukakan empat (4) tuntutan utama kepada pihak Kerajaan :
1. Penubuhan Jawatankuasa Libat Urus Inklusif: Memohon KDN mewujudkan jawatankuasa khas yang melibatkan pertubuhan masyarakat sivil, gerakan mahasiswa, dan agensi hak asasi manusia bagi memastikan proses reformasi undang-undang dilaksanakan secara telus dan bersasar.
2. Pindaan Peruntukan Restriktif: Meminda sekatan serta kuasa sewenang-wenangnya di bawah Akta 736 yang menyekat ruang sivik, menjejaskan penglibatan anak muda (seperti percanggahan dengan dasar Undi 18), dan mengenakan hukuman jenayah yang tidak seimbang.
3. Ratifikasi ICCPR: Menggesa Kerajaan menandatangani dan meratifikasi Kovenan Antarabangsa tentang Hak Sivil dan Politik (ICCPR) sebagai komitmen menegakkan hak asasi manusia di peringkat antarabangsa.
4. Penerapan Garis Panduan Antarabangsa: Mengguna pakai 10 prinsip garis panduan Prosedur Istimewa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam memudah cara perhimpunan aman.
Sekretariat Himpun percaya bahawa reformasi komprehensif terhadap Akta Perhimpunan Aman 2012 amat penting demi memperkukuh amalan demokrasi, melindungi hak asasi warganegara, dan memartabatkan kedaulatan undang-undang di Malaysia.