14/05/2026
LAWATAN KERJA YB MENTERI KESIHATAN MALAYSIA KE HTI
YB Datuk Seri Dr, Dzulkefly bin Ahmad, Menteri Kesihatan Malaysia (KKM) mengadakan lawatan kerja ke Hospital Teluk Intan pada 14 Mei 2026 sebagai manifestasi komitmen berterusan beliau bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam memastikan perkhidmatan kesihatan kepada rakyat terus diperkasa, ditambah baik dan dipertingkatkan kualitinya selaras dengan aspirasi kerajaan untuk memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan awam yang lebih cekap, berkesan dan responsif kepada keperluan masyarakat.. Turut bersama dalam mengiringi lawatan beliau adalah YB Dato Hajjah Hanifah Hajar Taib, Timbalan Menteri Kesihatan, YBhg. Datuk Seri Hj. Hasnol Zam Zam bin Hj. Ahmad, Ketua Setiausaha KKM, YBrs. Dr. Nor Hayati binti Ibrahim, Pengarah Bahagian Perkembangan Perubatan KKM dan YBhg. Datoโ Dr Feisul Idzwan bin Datoโ Mustapha, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Perak. YB Tuan Stevan Chaw Kam Foon, ADUN Menglembu dan pegawai-pegawai kanan KKM.
Ketibaan beliau dan delegasi di Hospital Teluk Intan telah disambut oleh YBrs Dr. Nordin bin Nasir, Pengarah HTI sebelum dibawa mengadakan lawatan ke beberapa fasiliti dan jabatan hospital bagi meninjau sendiri kemudahan serta perkhidmatan kesihatan yang disediakan kepada pesakit. Lawatan tersebut turut memberi peluang kepada YB Menteri Kesihatan untuk meneliti keperluan semasa hospital serta mengenal pasti isu-isu yang memerlukan perhatian segera dalam usaha memperkukuh mutu fasiliti dan penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada rakyat. Dalam lawatan berkenaan, YB Menteri Kesihatan juga berkesempatan meluangkan masa menyantuni para petugas kesihatan serta merakamkan penghargaan atas komitmen dan jasa warga hospital, khususnya para jururawat bersempena Sambutan Hari Jururawat yang diadakan di hospital ini.
Sejurus selepas lawatan tersebut, beliau telah diberikan taklimat ringkas berhubung pengoperasian Hospital Teluk Intan serta perkembangan semasa projek-projek pembangunan yang sedang dan bakal dilaksanakan. Taklimat tersebut bertujuan memastikan agenda pemerkasaan fasiliti dan penyampaian perkhidmatan kesihatan dapat dilaksanakan secara lebih mampan, efisien dan responsif selaras dengan keperluan serta kesejahteraan masyarakat.
Dalam ucapannya, YB Menteri Kesihatan turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga kerja Hospital Teluk Intan atas komitmen dan dedikasi berterusan dalam memberikan perkhidmatan kesihatan yang terbaik kepada masyarakat. Beliau turut mengumumkan beberapa berita gembira buat HTI menerusi kelulusan peruntukan berjumlah RM1.587 juta bagi tujuan perolehan aset perubatan dan bukan perubatan, selain pelaksanaan kerja-kerja naik taraf wad serta Jabatan Radiologi hospital. Peruntukan tersebut amat signifikan kepada HTI memandangkan bangunan dan fasiliti hospital yang telah beroperasi hampir 40 tahun itu memerlukan penyelenggaraan dan penambahbaikan secara berterusan bagi memastikan keselesaan serta keselamatan pesakit dan petugas sentiasa terpelihara. Di samping itu, peruntukan bagi perolehan aset baharu juga dijangka dapat membantu HTI menggantikan aset-aset lama dan usang yang telah mencapai tempoh pelupusan, sekali gus meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada rakyat.
Pihak HTI amat menghargai dan mengalu-alukan lawatan kerja yang diadakan ini kerana ia mencerminkan keprihatinan serta sokongan berterusan pihak YB Menteri dan Kementerian Kesihatan Malaysia terhadap keperluan dan pembangunan perkhidmatan kesihatan di hospital ini. Lawatan seumpama ini amat penting dalam memastikan HTI terus mendapat perhatian, sokongan dan kerjasama strategik daripada pengurusan tertinggi KKM dalam mendepani cabaran serta perubahan landskap perkhidmatan kesihatan masa kini yang semakin dinamik dan mencabar. Ini memerlukan komitmen semua pihak untuk terus memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan kesihatan yang berkualiti, menyeluruh dan saksama demi memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara, di samping menjamin kelestarian sistem kesihatan negara yang lebih berdaya tahan, mampan dan responsif terhadap keperluan semasa masyarakat.