05/05/2026
Pengalaman Dr. Hadafi Fitri Mohd Latip sebagai Ketua Juru Urut kontinjen Johor dalam temasya SUKMA di Terengganu 2008, Melaka 2010 dan Kuala Lumpur 2012 merupakan satu perjalanan profesional yang sarat dengan cabaran, disiplin dan pengorbanan. Dalam setiap edisi SUKMA, lazimnya hanya sekitar 5 hingga 20 orang juru urut akan di pilih untuk menguruskan ratusan atlet kontinjen SUKMA Johor. Berdasarkan anggaran, jumlah atlet Johor yang terlibat dalam SUKMA Terengganu, Melaka dan Kuala Lumpur masing-masing melebihi 300 hingga 500 orang atlet, merangkumi pelbagai jenis sukan berprestasi tinggi.
Dalam situasi sebenar di lapangan, Dr. Hadafi berkongsi bahawa beliau pernah mengendalikan sehingga 10 orang atlet dalam satu masa, melibatkan pasukan seperti ragbi, bola sepak, judo dan lain-lain. Pengalaman ini bukan sahaja menuntut ketahanan fizikal, malah ketajaman mental untuk membuat keputusan rawatan yang tepat.Jumlah jam latihan dan praktikal yang tinggi menjadikan kemahiran urutan beliau semakin baik, seterusnya memperkukuh daya ingatan terhadap teknik-teknik terapi dan rehabilitasi yang berkesan untuk meningkatkan prestasi atlet.
Selain kemahiran teknikal, juru urut sukan juga perlu melalui latihan fizikal yang mencabar. Dr. Hadafi menceritakan bahawa semasa mengikuti Kem Pusat Latihan, beliau diarahkan bangun awal subuh, berlari sehingga 10 pusingan stadium, warm up, stretching dan latihan bebanan sebelum menjalankan tugas. Apabila dipersoalkan kepada ketua jurulatihnya iaitu Coach Omar, beliau menegaskan bahawa seorang juru terapi juga perlu memiliki tahap kecergasan setanding atlet. Hal ini kerana mereka perlu berhadapan dengan beban kerja tinggi dimana jumlah jam urut yang tinggi sepanjang tempoh SUKMA berlangsung termasuk merawat ramai atlet dalam tempoh masa yang singkat.
Realiti urutan dalam persekitaran sukan sangat berbeza berbanding di kedai urutan, spa atau pusat rawatan biasa. Juru urut sukan perlu bertindak pantas dan membuat keputusan yang tepat demi memastikan atlet berada pada tahap optimum untuk bertanding. Kadangkala, rawatan dilakukan dalam ruang yang sempit seperti koridor, bilik persalinan, atau mana-mana lokasi yang tersedia. Keutamaan adalah prestasi atlet, bukan keselesaan tempat rawatan.
Selama lebih 15 tahun penglibatan dalam bidang ini, Dr. Hadafi menzahirkan bahawa segala pengalaman tersebut telah membentuk dirinya menjadi lebih cekal dan beriltizam tinggi. Dedikasi yang berterusan ini akhirnya terbayar apabila bidang terapi dan urutan mula dijadikan 1 pertandingan. Ia adalah satu pengiktirafan bidang terapi dan urutan di peringkat yang lebih tinggi, termasuk pengiktirafan antarabangsa serta penerimaan anugerah profesional.
Kini, bidang terapi dan rehabilitasi semakin mendapat tempat dalam industri sukan global. Ia bukan lagi dilihat sebagai sokongan semata-mata, tetapi sebagai komponen kritikal dalam pembangunan prestasi atlet. Justeru, Dr. Hadafi menyeru agar semua ahli terapi bersikap terbuka, saling membantu dan bersatu hati dalam memperkasakan profesion ini. Mereka yang lemah perlu dibimbing, yang baik perlu dihargai, dan yang cemerlang harus diketengahkan.
Sebagai perbandingan, negara seperti Thailand telah berjaya mengangkat martabat urutan tradisional mereka ke peringkat dunia. Juruterapi mereka berada di seluruh pelusuk dunia dan teknik urutan Thai kini diiktiraf sebagai salah satu kategori dalam pertandingan urutan antarabangsa. Ini membuktikan bahawa dengan strategi yang betul, bidang ini mampu menjadi identiti negara dan sumber ekonomi yang signifikan.
Akhirnya, Dr. Hadafi menegaskan bahawa kejayaan seorang juru urut tidak datang dengan mudah. Ia menuntut pengorbanan, keringat dan ketabahan yang tinggi—sesuatu yang sering tidak dilihat oleh masyarakat. Sebagai pedoman, beliau menyeru agar setiap individu dalam bidang ini terus meneroka ilmu dengan hikmah, “Ular menyusur akar tidak akan hilang bisanya" dan Urutan Warisan Malaysia mengakar dan menjulang tinggi. Inilah menjadi tunjang kepada kecemerlangan berterusan dalam dunia terapi dan rehabilitasi.Malaysia Boleh 💪.